Emas mahal dan semakin mahal sejak ringgit mulai lemah baru-baru ini. Segelintir mengatakan bahawa emas tidak lagi berbaloi dibeli sekarang.
Sejak dulu lagi emas sentiasa dikatakan mahal. Tidak ada satu zaman pun orang mengatakan bahawa emas itu murah.
Sungguhpun kita ketahui bahawa harga emas sentiasa meningkat dalam tempoh jangka masa panjang.
Mungkin, harga emas tetap dikatakan mahal pada hari ini. Hakikatnya, kita ketahui bahawa harga emas akan lebih mahal pada tahun akan datang.
BACA LAGI: Sejarah Harga Emas Malaysia Berbanding Ringgit
Menurut pengalaman saya, harga emas mulai mahal apabila harga emas cecah RM300 segram beberapa tahun lalu.
Saya rasakan mahal sebab saya mulai membeli emas pada harga RM140 segram. Jadi, apabila harga emas cecah RM300 segram, saya rasa, punyalah mahal!
Kenaikan harga emas ketika itu naik 2 kali ganda daripada harga mula membeli. Dari RM140 segram kepada RM300 segram. Sudah tentulah saya rasa mahal sangat. Tak berbaloi.
Namun, jika dibandingkan dengan harga emas pada hari ini, sekitar RM418 segram, harga emas RM300 itu saya rasakan murah.
Padahal, pada masa dulunya, saya merasakan mahal sangat RM300 segram. Seolah-olah tidak lagi berbaloi untuk beli. Jual lebih untung!
Ia bergantung pada niat asal kita atau tujuan menyimpan emas. Adakah simpan emas sebagai tabungan atau pelaburan?
Jika tujuan beli emas untuk menabung. Maka, fokus kita adalah untuk melihat pertambahan gram emas. Dulu hanya ada 1 gram, sekarang 1,000 gram.
Bagi penyimpan emas bertujuan menabung, kita mesti fokus seberapa banyak gram emas yang kita sudah simpan. Yang penting, emas dalam tabungan bertambah banyak.
Bagi pelabur emas pula, fokus mereka adalah untuk meraih keuntungan daripada pelaburan emas. Hasil melabur emas, duit kita akan bertambah dan jumlah emas pula akan berkurang.
BACA LAGI: Negara BRICS Berlumba-Lumba Kumpul Rizab Emas, Apa Sebab?
Namun, masalah besar menabung duit ialah sentiasa dihakis nilainya oleh inflasi. Negara yang semakin maju akan meninggikan inflasi. Dan menjatuhkan kuasa beli ringgit.
Justeru, menabung duit kertas hanya akan menurunkan nilai kekayaan saban tahun akibat dihakis inflasi. Bilangan duit boleh bertambah, tetapi nilainya menurun.
Kesimpulannya, adakah masih berbaloi beli emas pada harga yang mahal? Jawapannya, masih berbaloi jika tujuan anda untuk menambah kekayaan dalam jangka masa panjang.
Seperti yang anda ketahui, harga emas sentiasa meningkat dalam jangka masa panjang. Harga emas ada turun naiknya. Namun, dalam jangka panjang ia sentiasa naik sejak 1,500 tahun lalu.
SHARE sebarkan manfaat. Jalakumullah khayran~
Mohd Ekram Marfuadi
Kota Kinabalu,Sabah
5 November 2024