Prinsip kewangan orang kaya sangat berbeza dengan prinsip kewangan orang biasa. Orang kaya juga pernah miskin dan melalui perjalanan hidup yang sukar sebelum menjadi kaya. Di sini saya kongsikan prinsip kewangan orang paling kaya di Kota Babylon berdasarkan buku bestseller The Richest Man In Babylon tulisan George S. Clason. Agar kita boleh sama-sama amalkan sekaligus merubah corak kewangan kita. Insyaallah
7 Prinsip Kewangan Orang Kaya
Kota Babylon merupakan salah sebuah kota yang terkaya di dalam sejarah dunia. Ramai penduduk di kota itu menjadi kaya-raya kerana mahir mengurus wang berasaskan ilmu kewangan yang betul dan berkesan. Prinsip-prinsipnya seperti berikut:
1- Bayar Diri Sendiri Dulu
Bayar diri sendiri sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan atau gaji kita. Bayar diri sendiri bermaksud membuat simpanan duit. Biasanya kita suka self-reward semasa gaji dengan membeli barang yang kita suka. Membeli barang bermaksud kita membayar orang. Pastikan kita bayar diri sendiri dulu (buat simpanan 10%) sebelum bayar orang lain (beli barang).
2- Berbelanja Di Bawah Kemampuan
Setiap orang tidak mempunyai pendapatan yang sama. Bermaksud, kita tidak perlu berbelanja mengikut trend semasa. Jika jiran sebelah beli kereta baru, kita tidak semestinya perlu kereta baru. Kita mesti berbelanja untuk keperluan saja. Sebaiknya kurangkan perbelanjaan ke atas liabiliti.
Baca Tentang Liabiliti: Aset VS Liabiliti, Kunci Bebas Hutang
3- Make Thy Gold Mutiply (Prinsip Penting)
Jika duit disimpan di dalam bank, nilai duit kita akan susut dihakis inflasi setiap tahun. Dan menyebabkan kekayaan kita semakin berkurang. Maka sebahagian duit simpanan kita mesti di tukarkan kepada aset seperti emas, perak, hartanah, bisnes sebagai pelaburan. Agar kekayaan kita berganda-ganda!
Baca Tentang Emas: Duit Simpanan Tidak Berbaloi, Simpan Emas
4- Elakkan Skim Cepat Kaya
Sejak 8,000 tahun lalu, sudah wujud pelaburan skim cepat kaya sehingga sekarang. Maka kita tidak seharusnya mudah percaya pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang cepat. Mengumpul kekayaan merupakan sebuah proses yang panjang. Tidak ada jalan pintas untuk kaya. Berguru dengan mentor yang betul sebelum membuat apa-apa pelaburan.
“Avoid investments that sound too good to be true”
– The Richest man In Babylon
5- Beli Tempat Tinggal
Kita disaran untuk membeli rumah sebagai tempat tinggal, berbanding menyewa rumah. Duit sewa yang dibayar kepada penyewa rumah lebih baik digunakan untuk membuat pelaburan atau melabur dalam bisnes.
6- Bina Pendapatan Masa Depan
Kita mesti membina pendapatan pasif untuk menanggung perbelanjaan kita di hari persaraan nanti. Salah satu caranya ialah dengan membeli tanah atau rumah untuk disewakan. Hasil duit sewaan tersebut boleh menjadi pendapatan pasif ketika bersara nanti.
7- Belajar Buat Duit
Bekerja dan buat duit adalah 2 perkara yang berbeza. Memang betul bekerja untuk mendapatkan duit atau gaji, namun buat duit ialah proses menggandakan duit gaji yang kita dapat hasil bekerja tadi. Jika pekerjaan anda ialah ahli perniagaan (bisnesman), anda sangat beruntung kerana anda sedang membuat 2 dalam 1 (bekerja dan buat duit). Belajarlah kemahiran buat duit tanpa mengira had umur.
Tiru Prinsip Orang Kaya
Untuk menjadi orang kaya, kita hanya perlu tiru prinsip-prinsip yang mereka amalkan. Meniru dalam peperiksaan adalah perbuatan yang salah. Namun, meniru prinsip orang kaya tidak salah. Dalam bahasa moden, kita ‘copy’ prinsip-prinsip orang kaya dan ‘paste’ dalam kehidupan kita supaya kita juga akan menjadi kaya seperti mereka. Amin.
SHARE demi manfaat bersama~
Mohd Ekram Marfuadi
Kota Kinabalu,Sabah
31 May 2022